THE IHSAN JOURNAL

Semua Soalan Perlu Jawapan Ke?

Tentang soalan, ilmu, kepastian — dan bila kita mungkin perlu berhenti mencari satu lagi jawapan.

26 September 2026 Reflection The Ihsan Journal

Semua Soalan Perlu Jawapan Ke?

Bila lebih banyak soalan tidak semestinya membawa lebih banyak kejelasan.

Ada hari-hari tertentu, kepala kita terasa seperti mempunyai terlalu banyak tab terbuka.

Kenapa jadi macam ni? Kalau saya buat begini, apa akan jadi? Macam mana kalau saya tersalah pilih? Patut ke saya tunggu dulu? Tapi kalau…?

Satu soalan membawa kepada satu lagi. Dan anehnya, selepas berfikir begitu lama, kita bukan semakin jelas. Kita semakin penat.

Saya mula tertanya-tanya tentang satu perkara: adakah semua soalan yang muncul dalam fikiran kita benar-benar perlu mendapat jawapan?

Bertanya bukan masaalah

Al-Quran tidak mengajar kita untuk berhenti bertanya. Malah, mencari ilmu adalah sesuatu yang penting. Tetapi apabila saya melihat beberapa ayat Al-Quran berkaitan pertanyaan dan ilmu, saya mula nampak satu perbezaan yang halus: ada soalan yang membawa kita kepada ilmu, dan ada juga soalan yang hanya membawa kita kepada lebih banyak soalan.

Dalam Surah Al-Ma'idah ayat 101–102, terdapat peringatan tentang pertanyaan mengenai perkara yang, apabila diterangkan, boleh membawa kesukaran kepada orang yang bertanya. Ini bukan bermaksud kita tidak boleh bertanya. Masaalahnya bukan pada tanda soal. Masaalahnya ialah apabila setiap perkara terasa seperti mesti diselesaikan dalam kepala sebelum kita boleh bergerak .

Kadang-kadang kita fikir kita sedang mencari kepastian. Sebenarnya, mungkin kita sedang menangguhkan langkah seterusnya.

Bila satu arahan yang mudah menjadi rumit

Kisah Bani Israel dalam Surah Al-Baqarah ayat 67–71 membuat saya berhenti lama. Mereka diberikan satu arahan, kemudian datang pertanyaan demi pertanyaan: tentang umur lembu, warnanya dan keadaannya.

Menurut Tafsir Ibn Kathir, banyak pertanyaan yang tidak diperlukan akhirnya menjadikan urusan tersebut lebih sukar. Saya tidak membaca kisah ini sebagai larangan untuk meminta penjelasan apabila kita benar-benar tidak faham. Tetapi saya melihat sesuatu tentang diri sendiri di dalamnya.

Ada masanya saya sudah mempunyai cukup maklumat untuk melakukan perkara yang seterusnya, tetapi saya masih mahu satu lagi jawapan. Kemudian satu lagi. Dan satu lagi. Bukan kerana jawapan itu benar-benar diperlukan, tetapi kerana bertindak bermakna saya perlu menerima bahawa saya mungkin tidak akan mendapat 100% kepastian.

Itu bahagian yang tidak selesa.

Kita tidak perlu mengisi semua ruang kosong

Surah Al-Isra' ayat 36 membawa satu lagi disiplin yang menarik. Allah berfirman tentang tidak mengikuti sesuatu yang kita tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, dan bahawa pendengaran, penglihatan serta hati akan dipersoalkan.

Ayat ini jauh lebih besar daripada isu overthinking. Ia berkaitan dengan disiplin ilmu dan tanggungjawab terhadap apa yang kita terima, percaya dan katakan. Tetapi untuk diri saya, ada satu pelajaran kecil yang sangat berguna: saya tidak perlu mengisi setiap ruang kosong dengan andaian.

Kadang-kadang jawapan yang paling benar ialah, “Saya belum tahu.” Dan rupanya, belum tahu bukan kegagalan. Kita boleh belum tahu sesuatu, tetapi masih tahu apa yang perlu dilakukan sekarang.

Mungkin bukan lebih banyak jawapan yang kita perlukan

Kemudian saya sampai kepada Surah Taha ayat 114.

Allah berfirman:

“…dan berdoalah dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.’”

Konteks ayat ini penting. Rasulullah ﷺ diarahkan supaya tidak tergesa-gesa ketika menerima wahyu sebelum penyampaiannya selesai, kemudian diajar meminta pertambahan ilmu.

Saya suka urutan ini. Bukan: “Ya Allah, berikan aku jawapan kepada semua perkara sekarang.” Tetapi: “Rabbi zidni ‘ilma.” — Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.

Ada perbezaan besar antara mahu mengetahui semuanya dan mahu Allah menambah ilmu yang benar. Kadang-kadang, keinginan untuk mengetahui semuanya mungkin datang bersama keinginan kita untuk memastikan setiap kemungkinan berada dalam kawalan. Sebaliknya, meminta pertambahan ilmu meletakkan kita sebagai seorang pelajar.

Kita belajar apa yang perlu dipelajari. Kita mencari sumber apabila sumber diperlukan. Dan apabila maklumat belum cukup, kita tidak tergesa-gesa membina cerita sendiri.

Tiga soalan kecil

Sekarang, apabila satu persoalan mula bermain terlalu lama dalam kepala, saya cuba berhenti dan bertanya:

Adakah saya benar-benar perlu tahu perkara ini sekarang?

Adakah saya mempunyai sumber atau maklumat yang boleh dipercayai untuk menjawabnya?

Kalau saya mendapat jawapannya, adakah jawapan itu akan mengubah apa yang perlu saya lakukan?

Kadang-kadang ketiga-tiganya ialah ya. Maka carilah jawapan. Tetapi kadang-kadang saya sedar bahawa saya sebenarnya sudah mempunyai cukup maklumat. Saya cuma belum mahu bergerak.

Itu cerita yang berbeza.

Tidak semua soalan perlu dibawa bersama

Fikiran kita memang akan menghasilkan soalan. Itulah sifat manusia yang berfikir. Tetapi mungkin kematangan bukan bermaksud mampu menjawab semuanya. Mungkin sebahagiannya ialah belajar membezakan antara soalan yang perlu dicari jawapannya, soalan yang perlu ditunggu, dan soalan yang boleh kita lepaskan.

Ada perkara yang memerlukan kajian. Ada perkara yang memerlukan tindakan. Dan ada perkara yang mungkin hanya perlu kita katakan: “Belum perlu dijawab.” Kemudian kita kembali kepada apa yang sudah jelas di hadapan kita.

Saya masih mengembangkan penelitian ini dengan melihat hubungan antara pertanyaan, pencarian ilmu, fikiran yang terlalu penuh dan tindakan. Insya-Allah, ia akan menjadi salah satu eBook kecil di bawah The Ihsan Project.

Buat masa ini, mungkin cukup dengan satu soalan:

Adakah soalan yang sedang memenuhi kepala saya sekarang benar-benar membantu saya bergerak — atau sekadar membuat saya berpusing di tempat yang sama?